Apakah Penyelesaian Jika Anak Anda Tidak Mahu Berkongsi Barang Miliknya?

Unknown | Date : November 21, 2017 | Series :


Isu berkongsi permainan atau barang milik peribadi adalah isu yang paling kerap diutarakan kepada saya terutamanya oleh ibu-ibu kepada anak kecil berusia pra sekolah.

Ayah dan ibu risau bila anak tidak mahu ‘berkongsi’. Ada juga anak yang sudahlah tidak mahu ‘berkongsi’, bertindak agresif pula dengan kawan.

Bila disuruh juga ‘berkongsi’ mulalah akan tantrum. Kadang-kadang kedua-dua pihak, yang tidak mahu ‘berkongsi’ dan tidak di’kongsi’ akan throw tantrum.

Bila ditanya kenapa ayah dan ibu risau bila anak tidak mahu ‘berkongsi’? Jawapannya adalah;
#1- Anak orang lain ok saja berkongsi . Takut kiranya anak mempunyai masalah perkembangan (developmental delay).

#2- Risau kiranya anak membesar menjadi Hj. Bakhil yang kedekut, tiada empati dan tidak mahu membantu mereka yang memerlukan dan dalam kesusahan.

#3- Risau persepsi orang lain terhadap anak dan terhadap diri ibubapa sendiri apabila anak tidak mahu berkongsi. Orang lain beranggapan kita tidak pandai didik anak.

#4- Ibubapa merasa diri gagal mendidik apabila anak tidak mahu berkongsi.

TAHUKAH ANDA ‘berkongsi’ bukanlah proses yang mudah bagi anak kecil usia TASKA atau prasekolah?

‘Berkongsi’ bukanlah isu moral atau akhlak, ‘berkongsi’ adalah isu perkembangan kanak-kanak (development).

‘Berkongsi’ adalah proses yang kompleks melibatkan pelbagai perkembangan. Secara ringkasnya, sikap tidak mahu ‘berkongsi’ adalah sikap yang developmentally appropriate (sesuai dengan perkembangan) anak kecil.

Kenapa ‘Berkongsi’ Merupakan Konsep Yang Sukar Bagi Anak Kecil?

#1- Istilah ‘berkongsi’ yang kita sering galakkan atau paksa, membawa maksud yang mengelirukan bagi anak kecil.

Adakah ia bermaksud pinjamkan, atau beri terus? Ini melibatkan perkembangan kognitif anak. Mereka belum berupaya untuk berfikir secara abstrak.

Apabila anak ‘berkongsi’ makanan, makanan itu habis dan hilang terus. Adakah ‘berkongsi’ mainan bermaksud mainan itu juga akan hilang terus? Anak belum faham.

#2- ‘Berkongsi’ melibatkan konsep masa (sense of time).

Berapa lama perlu saya beri kepada dia? Adakah saya akan dapat kembali? Bila? Ibu cakap ‘nanti’, ‘lagi dua minit’, pinjamkan ‘sekejap’, ‘sejam’. Anak belum faham semua konsep ini.

Konsep masa ini terbina di antara usia 4-6 tahun. Bila konsep ini difahami, barulah anak faham bahawa dia akan menerima kembali barangnya dan bukannya kekal bersama orang lain.

Tetapi kalau maksud ‘berkongsi’ menurut ayah dan ibu adalah beri terus, anak kembali keliru dengan konsep masa ini. Nampak tak?

#3- ‘Berkongsi’ melibatkan konsep pemilikan (ownership).
Contohnya “Ini anak patung saya”. “Itu kereta mainan dia”. ‘Mine’, ‘hers’, ‘yours’. Konsep pemilikan ini berkembang di antara usia 4-6 tahun.

Anak kecil sifatnya ‘egocentric’ hanya fikirkan diri sendiri dan belum faham orang lain. Sebab itulah ada anak kecil yang suka merebut mainan orang lain.

Konsep ownership ini masih samar bagi anak tersebut. Anak perlu dibimbing supaya dia faham.

#4- ‘Berkongsi’ juga melibatkan konsep pemindahan hak milik (transfer of ownership).

Bila sudah faham konsep ownership, anak juga perlu faham bahawa barang yang dimiliki boleh bertukar milik sama ada secara sementara (pinjamkan) atau secara kekal (beri terus).

Kompleks tak? Cuba fikirkan betapa sukarnya untuk anak kecil faham konsep ini. Konsep ‘ownership’ juga menjadi asas untuk anak memahami bahawa dia tidak boleh mengambil hak orang lain tanpa izin.

Jika barang itu bukan miliknya, dia perlu bertanya terlebih dahulu dan bukannya mengambil dengan selamba, merebut atau meragut.

Ini juga penting untuk difahami oleh kanak-kanak sekolah rendah, remaja dan juga orang dewasa. Jika tidak difahami pada usia lanjut maka tidak ada bezanya dengan anak kecil berusia 0-4 tahun.

#5- ‘Berkongsi’ melibatkan dua idea yang perlu difahami serentak oleh anak
i) Mainan Ini Milik Saya
ii) Mainan Saya Ada Pada Dia
Bagi orang dewasa, ini benda mudah tetapi bagi anak kecil memahami dua idea sudah cukup membingungkan bagi mereka.

#6- ‘Berkongsi’ juga melibatkan emosi – apa perasaan saya?

Jika anak kecil dipaksa untuk ‘berkongsi’ dan mereka terpaksa korbankan hak milik mereka, anak akan kaitkan ‘berkongsi’ dengan perasaan sedih, kecewa dan marah.

Apabila ‘berkongsi’ dikaitkan dengan perasaan ini, lebih sukar untuk anak ‘berkongsi’ pada masa yang lain. Cubalah fahami perasaan anak.

Anak kecil juga ada perasaan. Jika kita mendengar, mereka akan lebih mudah untuk ‘berkongsi’. Kita juga perlu hormat kepada anak kiranya ada kepunyaannya yang sangat disayangi dan tidak mahu di’berkongsi’ dengan orang lain. Hormati hak anak juga.

#7- ‘Berkongsi’ juga melibatkan konsep ’empati’ iaitu memahami perasaan dan keperluan orang lain.

Jika anak ada ’empati’ lebih mudah untuk anak ‘berkongsi’ dengan anak lain yang juga punya keperluan ke atas barang tersebut.

Anak juga akan mudah ‘berkongsi’ dengan anak lain yang kelihatan sangat tertekan kerana ingin berkongsi. ‘Empati’ mula berkembang sekitar usia 4 tahun.
8) ‘Berkongsi’ juga bergantung kepada nilai sifat semulajadi anak.

Ada anak yang lebih mudah untuk ‘berkongsi’ kerana anak-anak ini tergolong di kalangan anak dengan temperament ‘easy/flexible’.

Bagi anak yang ‘feisty’, ‘berkongsi’ mungkin mengambil masa untuk mereka praktikkan. Banyak lagi sebab musababnya tetapi cukuplah lapan faktor supaya ibubapa dan guru faham betapa sukarnya konsep ‘berkongsi’ yang sering kita lagukan kepada anak kecil.

Anak kecil mengambil masa, berilah mereka masa, ruang dan peluang. Harapan perlu realistik dan bersesuaian perkembangan anak-anak. Relax.

Dalam kita cuba menggalakkan anak untuk ‘berkongsi’, pada masa yang sama kita juga perlu pupuk perkembangan yang saya sebut di atas supaya anak faham.

Memahami konsep itu sendiri mengambil masa bagi anak kecil kerana mereka tidak mempunyai keupayaan kognitif untuk memahaminya lagi. Perkembangan emosi dan sosial mereka juga masih hijau.

Saya bersetuju kiranya kita tidak menggunakan istilah ‘berkongsi’ dengan anak-anak. Istilah ‘turn taking’ (mengambil giliran) lebih membantu anak-anak dalam memupuk sifat sabar, pemurah, dan menerapkan ‘delayed gratification’ iaitu berupaya untuk menunggu untuk mendapat sesuatu ganjaran/kepuasan.

Tukarkan lensa kita. Berkongsi lah posting tentang ‘berkongsi’ ini untuk menenangkan ayah, ibu dan guru-guru lain juga.

google+

linkedin

Like Box

loading...